counter.bloke.com

 

PM: Zahid patut letak jawatan

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

''Dia (Zahid) sepatutnya meletak jawatan tetapi dia enggan berbuat demikian, kerana mahu menyalahkan orang yang memecatnya kelak,'' kata Perdana Menteri.

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, Zahid menggunakan strategi yang digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk memutuskan kedudukan beliau.

''Jadi dia hendak guna itu untuk menyalahkan MT. Dia punya strategi sama dengan Anwar. Anwar sepatutnya undur diri tetapi dia nak suruh kita pecat dia.

''Bila kita pecat dia, dia kata ini sesuatu yang tidak adil,'' katanya kepada pemberita selepas melawat kemudahan calet hospitaliti korporat di hadapan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, petang ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Zahid yang enggan meletak jawatan walaupun mesyuarat khas Pemuda UMNO kelmarin meminta beliau berbuat demikian.

Zahid bersama empat lagi Exco Pemuda telah dituntut meletak jawatan kerana dilihat berpihak kepada Anwar yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September lepas dan daripada UMNO pada hari berikutnya kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral, rasuah dan mengkhianati negara.

Ditanya mengenai masih ramai pemimpin UMNO dilihat bersama Anwar, Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan meneliti tindakan mereka kerana setakat ini para pemimpin itu masih tidak percaya tentang apa yang telah dinyatakan (mengenai aduan-aduan terhadap Anwar).

Tetapi akhirnya, kata beliau, mungkin semasa diadakan perbicaraan kelak mereka akan percaya apabila lebih banyak perkara didedahkan.

''Saya anggap orang yang tidak percaya ini menipu diri. Kita tidak akan buat sesuatu melainkan ada bukti yang cukup.

''MT secara sebulat suara menyokong (tindakan pemecatan Anwar) walaupun dalam MT juga terdapat orang-orang yang dikenali sebagai penyokong Anwar,'' tegas beliau.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil ke atas pemimpin dan ahli UMNO yang menyokong gerakan reformasi, Dr. Mahathir berkata, buat masa ini, UMNO tidak berhasrat berbuat demikian.

''Tetapi tentulah ia mempunyai kesan terhadap mereka ini apabila kita membuat penilaian kemudian tentang kesetiaan mereka terhadap UMNO,'' tegas beliau.

Ditanya lebih lanjut apakah dengan tindakan itu akan menyebabkan perpecahan dalam parti, Dr. Mahathir berkata, beliau yakin Anwar tidak boleh menarik ahli-ahli UMNO untuk menyertainya.

Menurut beliau, mereka yang mengikuti Anwar hanya beberapa orang dan yang mempunyai masalah peribadi serta tidak puas hati dengan pelbagai perkara.

Mengenai tindakan Anwar menggunakan masjid untuk berceramah, Dr. Mahathir berkata, dulu ketika Anwar dalam kerajaan, beliau sendiri berkata bahawa masjid tidak harus digunakan untuk kepentingan politik.

Bagaimanapun, menurut beliau, jelas sekali pendiriannya kini bukan atas prinsip tetapi atas 'peluang'.

''Bila dia berada dalam kerajaan dia tidak mahu orang menggunakan peluang itu (guna masjid), tetapi bila dia di luar kerajaan dia nak peluang itu. Jadi dia 'oportunislah','' katanya.

Mengenai siri penjelajahan Anwar untuk menerangkan gerakan reformasinya, Dr. Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, tindakan akan diambil sekiranya berlaku kekacauan.

''Tetapi kalau aman, kerajaan tidak akan ambil tindakan,'' katanya.

Dr. Mahathir juga ditanya apakah dengan pemecatan Anwar daripada kabinet akan menjejaskan peluang BN untuk mempertahankan kedudukannya di Sabah, Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan lihat sama ada ia (pemecatan Anwar) membawa kesan positif atau negatif kepada pihak-pihak parti lawan.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM